Saturday, November 7, 2009

Eppy b'day Naeem Danish


Semalam Naeem menyambut hari lahirnya yang kedua. Dah beso baby mak. Dah pandai buat perangai. Pening kepala dibuatnya. Kadang-kadang macam saja nak menduga. Rupanya memang besar hikmahnya kerana dianugerahkan Allah seorang putera pada usia yang dah senja. Sekurang-kurangnya kita telah boleh mengawal emosi serta agak bersabar dengan kerenahnya. Lagipun kakak-kakaknya dah besar dah boleh diharap. Jadi taklah tension sangat.

Dari pemerhatianku, Naeem memang bijak dan cerdas. Tak diam seminitpun. Mungkin berkat air susu ibu dan juga surah-surah yang sering kubaca ketika mengandungkannya dulu. Dia dah pandai berkawan. Kalau ada budak-budak lelaki yang lebih besar darinya, lagi dia suka. Dia akan leka bermain dengan kawan-kawan sehingga tak hiraukan kita lagi. Habis sepupu-sepupu lelakinya kena buli.

Naeem sangat sukakan kereta. Tiap kali keluar ke kedai, dia akan minta dibelikan satu kereta mainan yang kecil- kecil itu. Tapi dia agak takut pada kereta mainan yang boleh bergerak sendiri pakai bateri atau remote control. Dia juga sangat sayangkan 'Push car'nya sehingga dia menyorokkan kereta tersebut di bilik Opah bila ada kawan-kawan yang sebayanya hendak bermain dengan kereta tersebut. Dia juga suka melihat gambar-gambar kereta di dalam majalah. Nak jadi engineer automotive agaknya

Kalau dulu aku asyik membelikan Barbie doll untuk kakak-kakaknya, sekarang nampaknya rumah kami mula dipenuhi dengan koleksi kereta berbagai bentuk dan saiz. Itulah lumrah dunia. Subhanallah, sejak kecil telah jelas kelihatan perbezaan anak-anak lelaki dan perempuan.

Walaubagaimanapun aku amat mengharapkan Naeem Danish dapat menjadi anak yang solleh serta menjadi waris yang baik. Kalau diizinkan aku teringin menjadikan dia seorang tahfiz. Namun aku tak akan memaksa. Yang penting aku mesti memberinya pendidikan dunia dan akhirat sebaik-baiknya agar dia dapat menghadapi dunia yang semakin mencabar ini.

Selamat Hari Lahir sayang!! Semoga Allah akan memberkati hidupmu dan menjadikan Naeem Danish insan yang terbaik dunia dan akhirat serta Allah melindungi kamu dan keluarga kita dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mungkin emak dan ayah tidak sempat melihat kamu membesar, namun Mak harap kakak-kakakmu akan sentiasa menjadi pelindungmu disaat ketiadaan kami nanti.

Untuk suamiku, aku bersyukur kerana Allah menghadiahkan kita seorang teman disaat kakak-kakaknya akan meninggalkan rumah untuk belajar di kolej. Semoga Naeem dapat menemani ayahnya ke masjid diusia persaraan kami nanti.

Amin Ya Rabbal A'lamin

Tuesday, October 13, 2009

Selamat Hari Lahir Kak Yong


15 tahun satu hari yang lalu, aku masih di Labour Room tengah berhempas pulas menahan sakit semenjak pukul 12 tengah malam, sampaikan terdemam-demam dibuatnya. Mujurlah suami sentiasa disisi untuk memberi semangat. Walaupun sepayah manapun, aku tetap tabah melaluinya kerana inilah zuriat kami yang ditunggu selama hampir 5 tahun.

Tepat pukul 12.58 tengahari, 12/10/1994, akhirnya lahirlah Nur Dhania ke dunia ini. Hilang segala kesakitan dan kepayahan apabila menatap bayi yang bulat (3.6 kg) dan putih melepak. Airmata kesyukuran menitis deras apabila terdengar Ayah mengazan dan mengqamatkan bayi kami. Syukur Alhamdulillah.

Selama 15 belas tahun bersamanya, banyak kenangan pahit manis yang pastinya sukar dilupakan. Disebalik kegembiraan ini kami menghadapi dugaan, suamiku kehilangan pekerjaan. Namun suamiku amat bertanggungjawab, sanggup melakukan apa saja demi untuk menyara hidup kami.

Masa tu mujur Kak Yong menyusu badan, jadi jimat kos untuk membeli susu. Bila diingatkan sedih jugak kerana waktu malam aku selalu tinggal sendirian dengan Kak Yong kerana suamiku berkerja menjadi supervisor untuk kerja-kerja mengeluarkan tanah untuk pembinaan bangunan telekom (Bangunan rebung) di Bangsar.

Tahun 1997, kami dikurniakan Angah pula. Keluarga kami tambah meriah walaupun serba sederhana. Alhamdulillah berkat kesabaran kami, Ayah mendapat pekerjaan semula selepas Angah menyambut ulangtahunnya yang pertama. Dan dari situ rezeki kami terus bertambah dan selepas kelahiran Dafina pada tahun 2002 hidup kami terus selesa. Dan kini Naeem menyerikan kehidupan kami.

Aku amat bersyukur kerana Nur Dhania membesar dengan baik. Walaupun dia seorang yang degil tetapi dia mempunyai hati yang lembut dan amat sensitif. Dia cepat tersentuh dah mudah mengalirkan airmata. Dia pernah dirotan oleh ayahnya hanya kerana dia tak mahu pergi ke sekolah. Rupa-rupanya ada sebab yang membuat dia tak mahu pergi sekolah...dia diperas ugut!!!

Sejak di tadika Nur Dhania telah menunjukkan kepandaiannya sehingga sering mendapat pujian dari guru2nya. Dia memang ringan tulang, gemar menolong orang, manja... tak dapat tidur tanpa teddy bearnya. Namun satu perkara yang masih belum berubah sejak dari kecil...dia tidak boleh diganggu tidurnya. Kalau diganggu dia akan 'meragam'.

Sesungguhnya Nia merupakan harapan Mak dan Ayah. Kami amat bersyukur dengan kehadiranmu. Semoga Nia akan menjadi insan yang sempurna dunia dan akhirat. Mak harap Nia menjadi contoh kepada adik-adik dalam semua segi. Walaupun masih banyak kekurangan, namun Mak harap Nia tak jemu belajar untuk menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dalam tindak-tanduk Nia. Jangan sia-siakan harapan kami. Mak dan ayah minta maaf sekiranya ada hajat Nia yang tidak dapat kami tunaikan. Jauh disudut hati kami, kami amat menyayangimu.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Kau rahmatilah Nur Dhania. Peliharakanlah dia dari perkara-perkara yang tidak diingini. Jadikan dia anak yang solleh, yang sempurna dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabbal A'lamin.

Selamat hari lahir sayang walaupun terlewat sehari!!!

Saturday, September 26, 2009

Hari raya yang meriah


Hari ini 26 Sep 2009 bersamaaan 7 Syawal 1430 Hijrah. Mungkin dek kerana sibuk menziarahi serta menyambut kedatangan saudara-mara dan sahabat handai di kampung sehingga tak sedar masa berlalu begitu pantas. Alamak, aku masih belum memulakan puasa sunat 6 hari di bulan yang mulia ini sedangkan Syawal telah menginjak 1/4 bulan.

Sesungguhnya hari raya kali ini memang meriah. Pertama kali pada hari raya yang kedua semua 27 orang cucu-cucu Mak berkumpul. Sebenarnya agak sukar untuk mengumpulkan semuanya sekali dalam satu waktu kerana kesibukan masing-masing. Apa lagi sakan mereka bergambo, namun masih tak dapat mengumpulkan semuanya pada waktu sesi bergambo itu, malah nak ambil gambar kami adik beradikpun tak sempat kerana tetamu yang datang silih berganti. Mungkin kerana mereka ingin menziarahi emak yang jarang berada di kampung kerana kini Mak menetap bersama kami di Shah Alam.


Sememangnya bulan ini bulan untuk mengeratkan silaturrahim. Hari raya telah menemukan semula kita dengan saudara-mara yang lama tak jumpa. Sayang sekali, aku tak ketemu dengan rakan-rakan sepersekolahanku walaupun aku kerap keluar membeli barang keperluan di pekan Bidor.

Sedikit aku kesalkan kerana Masjid Bidor yang selalu menemukan aku dengan rakan taulanku masih dalam pengubahsuaian sehingga keluarga kami terpaksa memilih alternatif lain untuk besolat sunat hari raya Aidil Fitri di Sungkai mahupun Jeram Mengkuang.

Sesungguhnya hari raya kali ini amat meriah sekali. Riuh-rendah rumah emak setelah beberapa tahun ditinggalkan sepi tak berpenghuni. Mujur Kak Chik kembali menetap disana bermula pada awal tahun ini. Harapanku agar Mak gembira biarpun dia nampak keletihan lantaran dirinya yang semakin uzur. Kami sama-sama bergotong-royong menyediakan juadah hari raya dan Mak cuma menjadi penyelia sahaja.



Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan Eid Mubarak kepada semua yang membaca blog saya ini. Semoga Allah memberkati Ramadhan kita yang telah berlalu dan juga Syawal yang telah menjelma.

Amin Ya Rabbal A'lamin.

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya

Hari merupakan hari yang ke 28 kita berpuasa. Rasa macam masih baru lagi Ramadhan menjelma. Belum puas berterawih kini Ramadhan telah sampai penghujungnya. Amboi terlalu cemburu masa mengejar dan meninggalkan kita. Harapanku agar kita tak ketinggalan pula. Semoga segala ibadat kita yang tak seberapa ini diterima Allah hendaknya.

Harapanku agar dapat terus ISTIQOMAH untuk melakukan ibadat sunat disamping memperkasakan yang wajib, maknanya ianya tidak ternoktah di sini. Semoga bulan ini merupakan permulaan yang baik untuk mencari keredhaan dariNYA. Kita harus sentiasa bersedia kerana kita tidak tahu sama ada akan bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya.
<
Antara terjemahan doa solat terawih yang terkesan di hati:-

"Ya Allah, jadikan kami orang2 yang beriman dengan sempurna, dengan semua yang Engkau fardhukan dapat kami tunaikan, solat dapat kami pelihara, zakat kami keluarkan, kasih sayang dan kemaafan MU kami harapkan, dan dengan petunjuk MU selalu kami berpegang, manakala perkara tak berfaedah dapat kami tinggalkan. Terhadap dunia kami berzuhud, terhadap akhirat semoga kami menggemarinya dan dengan ketetapan MU kami redha. Terhadap nikmat MU kami bersyukur dan ke atas segala uijian MU kami bersabar, dan semoga di hari Kiamat nanti kami dikumpulkan di bawah naungan panji-panji Nabi Muhammad SAW,"

Selamat menyambut hari raya kepada seluruh umat Islam didunia ini. Semoga Allah memberkati dan merahmati kehidupan kita dunia dan akhirat.

Amin.

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Saturday, September 12, 2009

PEMBANTU - ORANG SEBERANG

Semalam aku bercuti setengah hari semata-mata ingin ke bank untuk menghantar wang Wasiem (pembantu rumahku) di Indonesia. Wang sebanyak RM1250.00 bernilai IDR3,384,806.00. Wang itu merupakan titik peluhnya bekerja selama 3 bulan. Wang ini jauh lebih lumayan dari gaji para guru di Indonesia.

Aku dapat merasakan bahawa wang ini dapat menceriakan AidilFitri anak-anaknya yang ditinggalkan di sana bersama emaknya. Dari SMS abangnya, jelas nampak kesyukuran mereka apabila menerima wang ini. Cuma semalam aku sedikit kesal kerana terlupa untuk menambah sedikit duit raya untuk anak-anaknya.

Hampir satu setengah tahun dia menjadi pembantu rumahku rasanya hampir 15 juta telah dihantar pulang. Khabarnya duit itu telah digunakan bukan saja untuk belanja harian dan persekolahan anak2nya tetapi dapat juga memperbaiki rumah emaknya.

Itulah pengorbanan yang terpaksa dilakukannya demi mencari nafkah untuk keluarga. Walaupun dia agak berahsia dengan ku, namun dari apa yang diceritakan oleh ibuku,dia telah ditinggalkan oleh suaminya hampir 5 tahun yang lalu. Kerana itulah dia terpaksa bekerja mencari nafkah sendiri. Sebelum ini bekerja disini, dia menjadi pembantu restoren dikampungnya yang kerjanya amat berat sedangkan upahnya sekitar IDR300,000.00 sebulan.

Itulah jauh perbezaannya bila bekerja di sana dan di sini. Mungkin di sini dia cuma penat menguruskan rumahku dan anak2ku ketika aku bekerja namun gajinya bersih masuk ke dalam akaunnya tiap-tiap bulan. Tempat tinggal dan makan pakainya adalah di bawah tanggung jawapku. Apa yang aku hidangkan pada keluargaku, itulah juga yang menjadi makanannya.

Mungkin di sini dia tidak bebas keluar rumah tanpa izinku tetapi dia juga berpeluang bercuti bersamaku di tempat percutian dan sekala-sekala aku membawanya ke shopping centre tetapi dia tidak gemar mengikutku bershopping kerana takut menaiki tangga karan (eskalator). Tiap kali hari raya aku juga menyediakan baju raya dan duit raya untuknya. Pendek kata, apa yang dinikmati oleh keluargaku, dia akan menikmatinya juga.

Namun sebagai pekerja dia harus tahan hati dan telinga apabila kena marah denganku. Sebenarnya aku bukanlah cerewet sangat dan aku cuma akan melenting sekiranya dia melakukan kesalahan berulang kali. Selagi dia mengikut segala arahanku tidak ada sebab untuk aku memarahinya. Namun ku akui dari pengalamanku yang dah menggaji 4 orang pembantu rumah orang seberang, mereka ini memang agak lembab bekerja dan tidak cekap. Arahan mesti di beri 2-3 kali tetapi masih juga terdapat kesalahan. Selalunya kerja ASBOL (asal boleh) saja. Itulah menyebabkan majikan macam aku ni selalu tension.

2 - 3 hari ini heboh diperkatakan di media yang orang SANA nak ganyang orang SINI semata-mata kerana tarian penget yang tak pernah didengari selama ini. Kemudian nak minta gaji pembantu rumah dinaikkan RM600.00. Berbaloi ke dengan kualiti mereka sendiri yang selalunya tak lepas SMApun. Mungkin kalau itu yang mereka nak kan, mungkin kita kena caj sewa bilik, air, elektrik dan makan pakai mereka kut, semua tu tak boleh bagi free lagi. Bukan berkira tapi itulah realitinya.

Bagiku mesti ada tolak ansur antara kita. Kita memerlukan bantuan dan khidmat mereka, dan kita juga membantu mereka balik dengan memberi gaji yang setimpal untuk menanggung keluarga mereka disana. Tidak sedarkah orang seberang bahawa selama ini kita banyak membantu ekonomi mereka dangan jutaan RM yang mengalir ke sana. Sekarang ini terdapat 1.8 juta pekerja yang sah, bagaimana pula yang haramnya entah berapa juta lagi. Bila dihantar balik sanggup menyabung nyawa datang semula.

Harapanku agar keadaan ini tidak berlarutan. Semoga Allah merahmati kita yang berasal dari rumpun yang sama. Dan semoga perhubungan 2 negara ini akan kekal erat saling bantu membantu di dalam meneruskan kehidupan.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Monday, September 7, 2009

UPSR...akhirnya menjelma juga


Esok, 8/9/2009 sehinggalah 10/09/2009, adalah hari-hari yang mendebarkan buat kami sekeluarga terutamanya Dalila @ Ela kerana dia akan menghadapi peperiksaan UPSR. Tak dinafikan dia diantara calon harapan sekolah untuk mendapat 5A.

Memang aku akui Ela merupakan anak yang cerdas sejak dari kecil lagi namun sikapnya yang pemalu dan low profilenya menyebabkan dia agak tidak menonjol diawal 5 tahun persekolahannya. Walaubagaimanapun dia mula diberi kepercayaan menjadi pengawas oleh guru-gurunya apabila dia melangkah ke tahun 6 dan khabarnya dia juga memegang beberapa jawatan penting bagi persatuan-persatuan yang dianggotainya.

Sebagai ibu yang yang bekerja, agak sukar untuk aku untuk memastikan anak-anakku belajar di rumah, jadi aku menghantar Ela dan Nia (Dhania) ke kelas tuisyen. Setidak-tidaknya dengan menghadiri kelas tuisyen tersebut, mereka akan secara tak langsung mengulang kaji pelajaran mereka kerana dari apa yang aku perhatikan bila di rumah mereka asyik menonton TV dan bermain komputer selain daripada ber'sms' dengan kawan-kawan mereka.

Itulah cabaran masakini yang amat sukar di atasi. Kadang-kadang serba salah dibuatnya. Tak diberi handphone susah juga nak hubungi mereka bila mereka ke tempat tuisyen mahupun ke tempat lain. Bila tak dibagi menonton TV, kata mereka, itulah cara mereka untuk melepaskan tension selepas seharian belajar. Tak diberi bermain komputer, takut mereka ketinggalan pula kerana banyak maklumat yang boleh diperolehi di internet. Malah banyak folio yang perlu disiapkan,tentunya memerlukan bantuan komputer. Namun kadang-kadang sakit hati juga bila komputer itu disalahgunakan untuk ber'chatting' dengan kawan-kawan dan telefon bimbit pula disalahgunakan untuk berbalas SMS pulak.

Walau apapun Mak harap Ela dan Nia tidak menghampakan harapan mak dan ayah. Seperti apa yang kami katakan, kami telah berusaha sedaya upaya kami untuk memberi yang terbaik untuk kamu semua dari semua segi namun anak-anak mak perlulah berusaha sendiri untuk mencapai keputusan yang diidamkan. Mak harap anak-anak mak akan faham kenapa kadang-kadang emak dan ayah perlu bertegas dalam beberapa perkara.

Mak juga berharap agar Dalila akan tenang untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Berusahalah untuk menjawap soalan sebaik mungkin dan keputusannya kita serahkan kepada Allah S.W.T. Semoga dengan iringan doa Mak dan ayah yang tidak pernah putus-putus, Ela akan lebih berkeyakinan untuk merealisasikan cita-cita Angah sendiri untuk menncapai 5A dalam peperiksaan UPSR.

Terus-terang Mak katakan Mak agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi janji Mak untuk bercuti semasa Angah periksa kerana tuntutan kerja yang tidak mengizinkan Mak mengotakan janji tersebut. Inilah yang dikatakan kita hanya merancang namun Allah jua yang menentukan.

Selamat menghadapi peperiksaan UPSR Ela!!!. Buangkan rasa gentar dan gelisah yang dirasakan. Fokuskan kepada soalan peperiksaan dan berikan jawapan yang 'mantop' InsyaAllah penat lelah Ela selama ini akan membuahkan kejayaan.

Ya Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Kau bantulah anakku Dalila untuk menghadapi peperiksaan UPSR dengan tenang dan yakin. Kurniakanlah ia daya ingatan yang kuat supaya dia dapat menjawap soalan dengan tepat. Limpahkan rahmatMu ke atasnya dengan memberinya kesihatan yang terbaik sehingga habis hari peperiksaannya nanti.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Saturday, September 5, 2009

Selamat hari jadi Pina


Semalam adalah hari jadi Pina yang ke 7 tahun. Rasanya baru saja mendengar tangisan kelahirannya 7 tahun yang lalu dan juga rasanya masih baru lagi aku mendakapnya sambil membelai rambutnya sewaktu menyusukannya. Rupanya dah besar anak Mak.

Selamat ulang tahun sayang. Mak harap Pina jangan kecewa kerana tak dapat sambut hari jadi dengan kawan-kawan disebabkan hari jadi Pina kali ini jatuh dalam bulan puasa. Semoga acara potong kek selepas berbuka puasa di rumah Pak Uda semalam dapat mengembirakan hati Pina.

Bagiku Dafina merupakan seorang permata hati yang amat berharga. Walaupun dia seorang yang agak cerewet tetapi dia mepunyai kerekternya yang tersendiri. Dia juga seorang yang bijak, rajin dan amat perihatin. Cara pemikirannya amat advance berbanding dengan kengkawan yang seusia dengannya. Kadang-kadang agak payah untuk aku nak menjawab soalan-soalan cepuemasnya.

Sejak dari tadika lagi dia telah menunjukkan kepandaiannya. Setakat ini dia sering menjadi Top 3 di dalam kelasnya dengan perbezaan markah yang amat tipis (1 - 2 markah saja). Sekarang nipun dia telah naik AlQuran dan diwaktu lapangnya, dia amat gemar membaca buku termasuklah membaca buku Iqrak.

Alhamdullillah, mungkin ini berkat surah lukman yang selalu dibaca sepanjang kehamilan. Dan mungkin juga berkat air susu ibu. Pina memang telah menunjukkan kecerewetannya sejak dari bayi lagi. Dia tak suka minum susu dalam botol susu, walaupun susu itu adalah susu kusendiri yang telah diperah dan di bekukan. Dia lebih suka yang 'real'. Jadi dia sanggup minum air masak sementara menunggu aku balik dari tempat kerjaku. Itulah Dafina yang ku susukan penuh 2 setengah tahun. Tak dinafikan dia amat rapat dengan ku, walaupun kami sering tak sama pendapat.

Ya Allah yang Tuhanku, kau limpahkan rahmatMu ke atas anak gadisku yang comel ini. Jadikanlah dia anak yang solleh. Semoga Dafina menjadi insan yang sempurna dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabbal Alamin.